PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA
Hak untuk Berkesatuan (Perkara 10 (1)(c)).
Semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan dan ia adalah tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4) demi kepentingan dan keselamatan Negara.
AKTA KERJA 1955
Kontrak perkhidmatan tidak boleh menghadkan hak-hak pekerja untuk memasuki, menyertai atau menubuhkan Kesatuan Sekerja (Seksyen 8).
Majikan tidak boleh menghalang pekerja menubuh, menganggotai (termasuk menjadi pegawai-pegawai kesatuan) dan terlibat dalam aktiviti Kesatuan Sekerja yang didaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.
AKTA KESATUAN SEKERJA 1959
Imuniti daripada guaman sivil dalam kes keadaan tertentu (Seksyen 21).
Setiap Kesatuan, Pegawai atau anggota Kesatuan Sekerja dilindungi daripada tindakan guaman sivil ke atas apa-apa tindakan, susulan daripada penglibatannya dalam suatu pertikaiaan perusahaan.
Liabiliti berasaskan Tort (Seksyen 22).
Perlindungan ini meliputi setiap Kesatuan, Pegawai atau anggota Kesatuan. Sesuatu kes yang melibatkan perlanggaran hak keatas satu pihak yang lain (tort) yang disyaki dilakukan sama ada oleh Kesatuan Sekerja atau mereka yang mewakili Kesatuan Sekerja tidak boleh dilayan oleh mana-mana mahkamah.
AKTA PERHUBUNGAN PERUSAHAAN 1967
Cuti atas urusan Kesatuan Sekerja (Seksyen 6).
Seseorang pekerja yang ingin menjalankan tugasnya atau menjalankan hak-haknya sebagai Pegawai Kesatuan Sekerja hendaklah memohon secara bertulis kepada majikannya untuk mendapatkan cuti dengan menyatakan tempoh dan tujuan cuti itu dipohon.
Aduan kepada Mahkamah Perusahaan (Seksyen 8).
Apa-apa aduan mengenai perlanggaran seksyen 4 (hak-hak pekerja dan majikan), seksyen 5(larangan ke atas majikan dan kesatuan sekerja majikan berkenaan dengan tindakan-tindakan tertentu) dan seksyen 7 (larangan keatas pekerja dan kesatuan sekerja pekerja berkenaan dengan tindakan-tindakan tertentu) boleh dilaporkan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan.
Tuntutan Pengiktirafan (Seksyen 9).
Pengiktirafan oleh majikan merupakan syarat utama sebelum sesebuah Kesatuan Sekerja pekerja boleh memulakan Perundingan Kolektif bagi mencapai sesebuah Perjanjian Kolektif.
Perundingan Kolektif (Seksyen 13).
Kesatuan Sekerja yang telah mendapat pengiktirafan boleh menjemput majikan secara bertulis untuk mengadakan Perundingan Kolektif.
Perjanjian Kolektif (Seksyen 14).
Perjanjian Kolektif merupakan sebuah perjanjian bertulis yang dicapai di antara Majikan dan Kesatuan Sekerja.
Rujukan Pertikaiaan untuk rundingan damai (Seksyen 18).
Sesebuah Kesatuan Sekerja boleh membuat aduan mengenai pertikaiaan perusahaan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan untuk mencari jalan penyelesaiaan melalui prosiding rundingan damai.
Award dan Perjanjian Kolektif yang tidak dipatuhi (Seksyen 56).
Mana-mana Kesatuan Sekerja atau orang yang terikat oleh award atau perjanjian boleh membuat aduan ke Mahkamah secara bertulis terhadap mana-mana syarat dalam mana-mana award atau mana-mana Perjanjian Kolektif yang telah diakui oleh Mahkamah tidak dipatuhi.